Rezeki

Jumaat, 9 Oktober 2009

TUTUPLAH AURATMU SEBELUM BADAN KAMU DITUTUP SEPENUHNYA

Pada suatu masa dahulu, di Mesir hidup seorang sufi yang tersohor bernama Zun-Nun. Seorang pemuda mendatanginya dan bertanya :
" Tuan! saya belum paham mengapa orang seperti tuan mesti berpakaian apa seadanya, begitu amat sederhana. Bukankah di zaman ini, berpakaian cantik amat perlu bukan hanya untuk penampilan sahaja namun ia juga untuk tujuan lain lagi."

Si sufi hanya tersenyum lalu dia mencabut sebentuk cincin dari salah satu jarinya sambil berkata : "Wahai orang muda! akan aku jawab pertanyaanmu tetapi engkau mesti terlebih dahulu lakukan suatu hal untukku. Ambillah cincin ini dan bawalah ke pasar di seberang sana. Cubalah samada engkau boleh menjualnya dengan harga satu keping emas."

Melihat cincin Zun-Nun yang kotor itu lalu pemuda tadi merasa ragu-ragu; "Satu keping emas?. Saya tidak yakin cincin ini boleh dijual dengan harga itu."

"Cubalah dulu wahai orang muda. Siapa tahu engkau berhasil menjualnya."

Pemuda itu pun bergegas ke pasar lalu dia menawarkan cincin itu kepada pedagang kain, penjual sayur, penjual daging dan ikan serta kepada yang lainnya. Ternyata tak seorang pun berani membeli cincin itu dengan harga satu keping emas. Ada juga di antara mereka yang menawarnya dengan harga hanya satu keping perak.

Memang pemuda itu tidak berani menjualnya dengan harga satu keping perak. Dia kembali ke tempat Zun-Nun dan memberitahu tentang keadaannya semasa mencuba untuk menjual cincin tersebut dengan katanya ; "Wahai tuan! tak seorang pun yang berani menawar lebih dari satu keeping perak."

Zun-Nun tetap tersenyum faham lalu berkata, "Sekarang pergilah kamu ke kedai emas di belakang jalan ini. Cuba perlihatkan kepada pemilik kedai atau tukang emas di sana. Jangan beritahu kepadanya tentang harganya. Dengarlah apa saja yang bakal diberitahu dan lihatlah bagaimana dia akan memberikan penilaian terhadap cincin ini."

Pemuda itu pun pergi ke kedai emas yang dimaksudkan itu. Selepas itu dia kembali kepada Zun-Nun dengan raut wajah yang lain. Dia kemudian melaporkan perkara yang telah berlaku dengan katanya ; "Wahai tuan! ternyata para pedagang di pasar tidak tahu nilai sebenar cincin ini. Tukang emas menawarnya dengan harga seribu keping emas. Rupanya nilai cincin ini seribu kali ganda lebih tinggi daripada harga yang ditawarkan oleh para pedagang di pasar."

Zun-Nun tersenyum simpul sambil berkata ; "Itulah jawaban atas pertanyaanmu tadi wahai orang muda. Seseorang tak boleh dinilai dari pakaiannya sahaja sebagaimana hanya "para pedagang sayur, ikan dan daging di pasar" yang menilai demikian rendah terhadap nilai cincin itu sedangkan "pedagang emas" yang lebih arif tentangnya tidak menilai begitu.

Emas dan permata yang ada dalam diri seseorang hanya boleh dilihat dan dinilai jika kita mampu melihat ke dalam jiwa. Diperlukan kearifan untuk menjenguknya. Dan itu semua memerlukan kepada proses wahai orang muda. Kita tak boleh menilainya hanya dengan tutur kata dan sikap yang kita dengar dan lihat sekilas. Seringkali yang disangka emas ternyata loyang dan apa yang kita lihat sebagai loyang ternyata emas."

********************************
Assalamua'laikum.. alhamdulillah, masih dikurniakan nikmat iman dan ISLAM..

Semoga apa yang terlakar di atas memberikan manfaat buat kita semua, sebagai bekalan menuju negeri yang abadi... Insya'ALLAH. Sebagai selingan, ana merasa terpanggil untuk mencoretkan sedikit pengisian berkaitan dengan pemakaian masyarakat sekarang, khususnya di sebuah negara yang menggelarkan dirinya sebagai negara ISLAM, iaitu MALAYSIA tersayang...

Apa yang dapat antum perhatikan setiap kali melangkah keluar dari rumah? Macam mana dengan pemakaian masayarakat sekarang? pastinya ramai yang bersetuju jika ana katakan bahawa ramai diantara anggota masyarakat sekarang yang BERPAKAIAN TETAPI TELANJANG... betul?

Tiadakah walau sekelumit rasa kasihan dalam diri antum kepada wanita-wanita yang berpakaian sebegini? teringat sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Ada dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya itu: (l) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka pakai buat memukul orang (penguasa yang kejam); (2) Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar punuk unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian.” (Riwayat Muslim)

Mereka dikatakan berpakaian, kerana memang mereka itu melilitkan pakaian pada tubuhnya, tetapi pada hakikatnya pakaiannya itu tidak berfungsi menutup aurat, kerana itu mereka dikatakan telanjang, kerana pakaiannya terlalu tipis sehingga dapat memperlihatkan kulit tubuh, seperti kebanyakan pakaian perempuan sekarang ini.
( Al-Halal Wal Haram Fil Islam, Dr Yusof Al-Qaradawi)

Ya ALLAH, beratnya balasan bagi orang-orang yang tergolong dalam kelompok masyarakat yang berpakaian tetapi telanjang ni.. Usahkan masuk syurga, mencium bau syurga pun tak dapat... nauzubillah.. moga ALLAH jauhkan kita semua dengan semua ini..

Wahai sahabat-sahabat, para perindu syahid, pendamba kasih ilahi, ana menyeru sahabat-sahabat semua untuk sama-sama menyampaikan seruan menutup aurat kepada masyarakat sekeliling kita.. bukankah kita semua bertanggungjawab untuk menyampaikan dakwah, menyeru kepada kebaikan, mencegah sebarang bentuk perkara yang mengundang kemungkaran..

">Hai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu’min semua hendaklah mereka melabuhkan jilbab-jilbab mereka atas (dada-dada) mereka. Yang demikian itu lebih memastikan mereka agar dikenali (sebagai wanita Islam) supaya mereka tidak diganggu.” (al-Ahzab: 59)


Kenapa masih ada yang menafikan tentang kewajipan menutup aurat padahal ALLAH dah terangkan dengan sejelas-jelasnya. Tidak kurang juga mereka yang memandang suruhan menutup aurat ini sebagai perkara biasa? Malah, ramai juga yang telah membuat anggapan yang salah tentang aurat yang wajib ditutup..

Antara kesalahan yang berkaitan dengan penutupan aurat ialah:-
KESALAHAN PERTAMA : Aurat itu adalah memakai tudung sahaja.
KESALAHAN KEDUA : Bertudung tetapi ber‘T-Shirt’ berlengan pendek.
KESALAHAN KETIGA : Bertudung tetapi baju kebarungnya terbelah kainnya.
KESALAHAN KEEMPAT : Bertudung tetapi bajunya sendat, sempit dan nipis lalu memaparkan bentuk kawasan-kawasan mudah ‘menggoda’.
KESALAHAN KELIMA : Bertudung tetapi amat longgar dan menayangkan jambul dan hujung rambutnya.
KESALAHAN KEENAM : Bertudung tetapi hanya memakainya di pejabat sahaja. Tidak di sekitar rumah, pasaraya dan sebagainya.
KESALAHAN KETUJUH : Bertudung tetapi tudungnya dilempar ke belakang leher, maka terdedahlah dadanya dari ditutupi kain tudung.
KESALAHAN KELAPAN : Bertudung tetapi dengan tudung yang amat nipis sehingga boleh diihat sanggul, leher, tengkuk dan dadanya.

“Hendaknya mereka itu melabuhkan tudungnya sampai ke dadanya, dan jangan kamu mendedahkan aurat dan perhiasan kamu kecuali apa yang terzahir.” (an-Nur: 31)

bukan senang untuk berubah dalam sekelip mata, tapi, paling tidak, cubalah.. ana merayu pada antum, jagalah dirimu sebaik-baiknya wahai muslimat sekalian.. ana sayangkan antum.. teramat sayang... janganlah menjadikan diri kita antara wanita yang menjadi fitnah terbesar di akhir zaman..

SEDARLAH, kematian datang tanpa perlu sebarang TEMU JANJI, kerana semua itu telah tercatat sebagai TARIKH KHAS dalam diari kehidupan setiap makhluk.

Syurga itu benar, Neraka juga benar, semua janji-janji ALLAH juga benar.. jika kita sudah membenarkannya, kenapa perlu berlengah tanpa membuat sebarang tindakan, seolah-olah kita masih meragui kebenarannya? "sampaikanlah walau satu ayat"

muslimah


Allahumma khirli wakhtarli

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers