Rezeki

Khamis, 16 Disember 2010

Non-Muslim juga mengakui kelebihan berpuasa


Assalamua'laikum.


Apa khabar sahabat sekalian? Semoga dalam jagaanNYA sentiasa..


Baru saja membaca satu kolum dalam bharian online. Tertarik dengan tajuk : AWET MUDA.. Dan lebih mengagumkan ana, bilamana insan yang ditemubual ini turut menyelitkan kelebihan berpuasa, walaupun dia adalah non-Muslim!


Jom, sama-sama kita baca.


***********


Anna Lim amal puasa, tunggang kuda dan berenang


PERTAMA kali bertentang mata dengan bekas Ratu Cantik Malaysia 1997, Datuk Anna Lim, perasaan kagum dan selesa melihatkan keperibadian wanita itu membuatkan segala-galanya menjadi begitu mudah. Pantas bekerja, profesional di dalam urusan malah dia juga seorang yang menepati masa. Namun, paling mencuri tumpuan, pastinya aset paling berharga dimiliki Lim iaitu kecantikan semula jadi.

“Kecantikan adalah sesuatu yang subjektif namun percayalah, kecantikan seorang wanita pastinya akan lebih terserlah jika memiliki fikiran yang senantiasa positif,” katanya membuka rahsia.

Bagi Lim sendiri, walaupun pada usia sudah mencecah 40 tahun, dia yakin rahsia tubuhnya tidak dimamah usia bermula daripada fikirannya yang sentiasa lapang dan positif. “Itu memang diri saya. Tidak akan sekali-kali membiarkan fikiran dibebani masalah dan saya juga mempunyai perancangan masa depan yang bertindak sebagai pencetus semangat untuk saya berusaha.


“Sentiasa juga meluangkan masa bersosial kerana saya yakin, apabila hati gembira, sekali gus akan menyebabkan wajah awet muda,” katanya ketika ditemui baru-baru ini. Satu lagi rahsia Lim yang juga isteri kepada ahli perniagaan, Datuk Jeffrey Lim, dia sentiasa meluangkan masa menunggang kuda lima hari seminggu, bersenam atau berenang empat kali seminggu, melakukan yoga atau sekadar berjalan kaki sebagai rutin hidup. “Jika letak kereta di pusat membeli-belah sekali pun, saya akan letakkan kereta jauh dari pintu masuk kerana saya percaya, berjalan itu satu bentuk senaman yang baik untuk kesihatan,” katanya.


Percaya atau tidak, wanita berasal dari Ipoh, Perak, itu juga yakin amalan berpuasa yang diamalkan orang Islam baik untuk menyahkan toksin di dalam badan. Kerana yakin dengan amalan itu jugalah mendorong Lim berpuasa sekurang-kurangnya dua hingga tiga kali seminggu sejak beberapa tahun lalu.


Selain rutin senaman, Lim juga begitu menitik berat pengambilan makanan hariannya, malah dia mengakui tidak mengambil karbohidrat dan lebih banyak mengambil makanan berdaging, sayur dan buah-buahan organik. Kesibukan dengan kehidupan peribadinya menyebabkan ibu kepada sepasang kembar berusia Dominic,8, dan Dorothea,8, dan seorang bayi angkat, Francisco, 2, ini menyediakan jadual harian.


“Saya akan pastikan saya mengikut jadual yang direncanakan kerana kadangkala 24 jam sehari pun tidak cukup untuk menguruskan keluarga dan kerjaya,” katanya yang turut sibuk dengan urusannya di dalam bidang pelaburan hartanah dan sebagai pereka hiasan dalaman. Di waktu senggang, Lim mengakui suka berhibur dan bercuti sama ada bersama suami atau teman rapat. Hobinya yang satu itu juga pencetus untuknya menyiapkan sebuah buku ‘coffee table’ berjudul Magical Moments of Malaysia, diterbitkan pada Julai lalu.


Selain itu, dia juga pernah menghasilkan dua buku bertajuk Beauty & Beyond, A Journey of a Beauty Queen pada 2005 mengisahkan perjalanannya sebagai Ratu Cantik dan Children, The Future of Tomorrow pada 2007. “Saya suka bercerita mengenai kelebihan buku terbaru yang mana dipaparkan mengenai tempat percutian terbaik di negara ini. Ia bukti betapa bangganya saya bergelar anak Malaysia. “Melalui buku itu juga anda akan dapat melihat betapa cantiknya negara ini dan perlu ditunjukkan kepada orang luar.


Malah, orang tempatan juga perlu mengambil peluang untuk meneroka negara sendiri yang kaya dengan sejarah dan kecantikan tersendiri,” katanya yang begitu suka ke The Datai, Langkawi. Bertemu bekas Ratu Cantik tanpa bercerita pengalaman menyertai pertandingan itu pasti tidak lengkap. Kata Lim, pengalaman itu memberinya banyak membantu terutama untuk meningkatkan keyakinan diri. “Tapi ia juga memori yang begitu menyeronokkan tambahan pula ketika itu saya baru berusia 20 tahun, masih mentah namun berpeluang berada di kota besar Los Angeles. “Menghadiri majlis sosial bersama selebriti Hollywood, ia peluang sekali seumur hidup yang tidak akan dialami semua orang,” katanya.


Lim, lulusan Inchbald School of Interior Design, London juga gemarkan cabaran kerana itu beliau menyertai satu lagi pertandingan Ratu Cantik khusus untuk wanita berkahwin, Mrs Malaysia World 2004 di India dan dia berada di kedudukan lima teratas. Sebelum mengakhiri perbualan, Lim yang juga sibuk dengan urusannya mengendalikan bengkel kecantikan melalui Beauty & Fashion Studio bersama rakannya, Amber Chia mengakui bengkel itu menjadi medium untuknya menyalurkan ilmu kepada wanita lain.


“Apa yang dititik beratkan di dalam bengkel ini adalah mengenai keyakinan diri kerana dengan adanya kekuatan itu, setiap orang mampu menghadapi apa saja cabaran tanpa ada sebarang masalah. “Di dalam kehidupan dunia moden ini, wanita juga sentiasa dibebani masalah mengenai keluarga, anak dan suami yang bukan saja boleh memberi tekanan kepada diri.


“Justeru, bengkel ini memupuk sikap yakin diri sekali gus merubah wanita supaya menyuntik imej baru di dalam hidup supaya lebih positif menghadapi masa depan,” katanya.



* STRIVE FOR MARDHATILLAH *

muslimah


Allahumma khirli wakhtarli

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers