Assalamua'laikum.
Alhamdulillah, segala puji bagiNYA yang telah menghadiahkan hidayah dan limpahan nikmat yang tak putus-putus.
Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.
Dalam kehidupan kita, banyak perkara berlaku setiap masa. Hadir tanpa dipinta, tidak pernah dijangka. ALLAHURABBI. DIA sebaik-baik perancang.
Hidup adalah untuk bersyukur. Kenapa? Kerana setiap yang DIA hadirkan adalah anugerah buat kita. Sedar atau tidak, kita semua adalah hamba. Hamba tidak punya apa-apa. Jadi, setiap yang diberikan oleh Tuan, adalah satu anugerah.
Apakah anugerah tersebut? Andainya ingin dihitung oleh manusia, PASTI tak mampu dihitung segala nikmat yang ALLAH telah berikan kepada kita.
Bagaimana untuk terbitkan rasa syukur yang ikhlas dari hati? Kata seorang sahabat, dia pernah mendengar tazkirah daripada seorang Ustazah.
"Biasanya manusia memerlukan bukti, barulah dia percaya. Macam mana caranya nak terbitkan rasa syukur? Cuba senaraikan semua nikmat yang ALLAH dah berikan kepada kita dalam sehari.. Sebelum tidur atau bila-bila masa saja, senaraikan semua nikmat yang ALLAH dah berikan kepada kita. Paling kurang, mesti ada 100 nikmat. Bila dah selalu tengok senarai tu, mesti kita akan malu dengan ALLAH. Kenapa? Sebab nikmat yang ALLAH berikan tak terhitung. Tak setanding dengan apa yang kita dah lakukan. ALLAH sentiasa memberi. Tapi kita?? Hanya tahu meminta.. Sentiasa meminta."
* STRIVE FOR MARDHATILLAH *